Tuesday, June 24, 2008

TAHNIAH BUAT GAMIS – LOBILAH KE DEWAN NEGARA

Pemasyhuran GAMIS sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) baru-baru ini disambut baik oleh rakan-rakan aktivis mahasiswa. Sudah pasti dengan imej yang baru ini menuntut gandaan gerak kerja dan perancangan yang rapi. Skop portfolio yang dibenarkan di bawah Ikatan Amanah tersebut perlu dipraktikkan dengan lebih sesuai agar keseimbangan tugasan di kampus dan peringkat nasional diuruskan dengan baik dan sistematik.

Jika GAMIS benar-benar serius ingin merakyatkan idealisme mahasiswa dan perjuangannya bersama rakyat dengan lebih padu dan kukuh, saya sarankan agar GAMIS perlu melobi untuk mendapatkan status Senator di Dewan Negara.

Ketika Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu sekelompok mahasiswa yang lebih dikenali sebagai Parti Mahasiswa Negara (PMN) telah membulatkan tekad untuk menyertai pilihan raya tersebut. Mereka telah berazam untuk bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas dan seterusnya ingin mengangkat suara mahasiswa di Dewan Rakyat.

Walaupun begitu, disebabkan sekatan yang tidak demokratik akhirnya usaha itu tidak dapat direalisasikan pada kali ini. Manifesto PMN juga telah mencatatkan tuntutan untuk menggesa pihak kerajaan menubuhkan Parlimen Belia sepertimana yang telah dirintis di Perancis atau lebih dikenali sebagai European Youth Parliament. EYP telah menjadi satu medan yang aktif untuk menggugah pemikiran mahasiswa di Eropah untuk membincangkan atau membahaskan polisi, dasar dan isu-isu inter-cultural dalam negara disamping membentuk kepimpinan pelapis pada masa akan datang.

Dewan Negara adalah komponen kedua dalam Parlimen Malaysia dan dikenali juga sebagai Senat atau Majlis Tertinggi. Selain keanggotaannya yang terdiri daripada ahli Dewan Undangan Negeri dan Wilayah Persekutuan, Yang Di-Pertuan Agong juga berhak atas kuasanya melantik seramai 40 orang ahli yang lain yang terdiri daripada mereka yang banyak membuat jasa dalam perkhidmatan awam dan beberapa sektor penting negara. Tambahan pula, keanggotaannya ditawarkan kepada perwakilan dari kaum-kaum yang kecil di Malaysia. Seolah-olah wujud satu ruang untuk mahasiswa memohon perkenan daripada Yang Di-Pertuan Agong untuk dilantik menjadi Senator di Dewan Negara.

Justeru, suara mahasiswa untuk diangkat mewakili kepentingan rakyat diperingkat nasional dengan lebih serius dan berani akan lebih efisyen dan efektif. Ini kerana fungsi utama di Dewan Negara adalah untuk membahaskan rang undang-undang secara lebih terperinci sebelum mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan meliputi kepentingan rakyat umum.

3 comments:

Hasbullah Pit said...

menarik juga parlimen belia itu.

Mior Isfandy Mior Azizan said...

Parlimen Belia juga pernah disarankan oleh Youth For Change juga.

Rijal82 said...

cadangan yang bernas utk gamis 'baru' akan pertimbangkan secara serius