Friday, June 27, 2008

GAMIS HANYA TUKAR UNIFORM KERJA SAHAJA

Baju lama dah lusuh, warna pun dah pudar, orang pun tak mahu dekat dan badan semakin besar. Lebih baik cari baju baru, saiz besar, pakai perfume sikit, iron baju bagi nampak kemas dan pasti orang akan suka. Pemakai masih sama dan arah perjalanan tetap betul.

Polemik GAMIS mendaftarkan diri sebagai NGO bukan satu perkara besar dan ajaib. Bukan satu tsunami politik. Ramai orang memberikan pandangan sama seperti orang-orang yang lama hidup dan membesar dalam kehidupan aktivisme kampus. Rata-rata mahukan GAMIS atau gerakan mahasiswa yang lain berdiri di atas pendirian sendiri dan memberikan pandangan berdasarkan kefahaman dan penaakulan sendiri. Tidak terikut-ikut dengan agenda parti politik yang lain.

Apa yang saya faham, GAMIS hanya mahu melegalizekan pertubuhan mereka. Selama ini ada pihak yang menunding jari mengatakan GAMIS adalah pertubuhan haram. Oleh kerana status tersebut, GAMIS tidak diberi layanan untuk bergerak secara rasmi. Persoalan GAMIS ingin menjadi pressure group, independent movement, jurubicara ummah dan mahasiswa bersama rakyat bukan tema baru yang kita dengar pada hari ini. Saya yakin ia pernah dilaungkan sejak dua dekad yang lalu.

Saya ingin memberikan tribute kepada Encik Shuhaimi Al-Maniri kerana hasil usaha tangannya, beliau telah merakamkan detik demografi perjalanan gerakan mahasiswa merentasi masa. Saya merujuk kembali buku beliau, ‘Disebalik Tabir Politik Kampus’ yang pernah diterbitkan sekitar 1950an. Terdapat beberapa ungkapan pemimpin negara yang menggambarkan konteks politik kampus dalam buku tersebut. Antaranya, Prof Diraja Ungku Aziz pernah berkata, “Universiti yang baik adalah universiti yang menggambarkan dan mencerminkan masyarakat luar”. Begitu juga apa yang pernah dilontarkan oleh Dr Sanusi Osman, “penglibatan dan peranan mahasiswa penting sebagai jurubicara rakyat, imej mereka tinggi dan pengaruh mereka juga meluas dalam masyarakat”.

Kerajaan dan masyarakat mula memberikan perhatian kepada gerakan mahasiswa sejak tahun 1957 lagi. Pada ketika itu suara-suara lantang mahasiswa dari Universiti Malaya menggoyahkan teraju kepimpinan negara. Ini kerana isu yang diuruskan oleh gerakan mahasiswa pada ketika itu hampir kesemuanya meliputi isu nasional seperti bantahan lawatan Duke of Edinburgh 1964, protes siaran drama RTM 1965, peristiwa Hamid Tuah 1967, penglibatan mahasiswa dalam PRU 1969, demonstari Anti Tunku 1969 dan pelbagai lagi sehinggalah mahasiswa dirantai dengan satu akta yang drakonian iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Difahamkan akta ini digubal kerana ingin menyekat kegarangan mahasiswa yang mampu menggugat tampuk kuasa pemerintah pada ketika itu. Hayat gerakan mahasiswa tidak berkubur setakat itu, malah ia menjadi semakin berani dan menggerunkan. Berbelas-belas lagi perhimpunan dan memorandum dikeluarkan. Malah diantara kemuncak tindakan gerakan mahasiswa adalah peristiwa setinggan di Tasik Utara dan isu kemiskinan rakyat di Baling pada tahun 1974. Maka, untuk terus mencengkam leher mahasiswa, kerajaan menangkap aktivis-aktivis mahasiswa dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan meminda AUKU pada tahun 1975. Maka, tidak wujud lagi suara garau mahasiswa dan yang wujud selepas daripada itu adalah Majlis Perwakilan Pelajar yang dikawal tindak tanduk dan kuasanya.

Kemudian, pada era 1980an, pelbagai formula gerakan mahasiswa nasional didebatkan. Justeru, wujudlah pelbagai nama seperti Front Bertindak Pelajar Malaysia, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia, Angkatan Mahasiswa Negara dan lain-lain lagi. Sehingga ke hari ini, masih wujud sebilangan dari front-front tersebut. Saya cuba meneliti orientasi gerakan mahasiswa tersebut, ia hampir meliputi setiap sisi dan sudut di negara kita.

Maka, hari ini, sekali lagi kita ingin merungkaikan dan menghuraikan apakah wajah sebenar gerakan mahasiswa khususnya era 2000 ini. Dalam keadaan politik negara yang semakin matang, ruang mendapatkan maklumat sudah semakin lebar, budaya pemikiran semakin liberal dan pendekatan yang semakin dinamik sudah tentu mahasiswa ingin termasuk dalam zoom yang sihat ini.

Penubuhan NGO-NGO yang banyak dalam sesebuah negara merujuk kepada salah satu petanda aras sebuah negara demokrasi yang subur. Sepertimana parti politik, NGO (kumpulan pendesak) juga berperanan menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan. Namun begitu, parti politik bercita-cita untuk membentuk kerajaan manakala kumpulan pendesak hanya sekadar ingin mempengaruhi sesuatu isu. Maka, apakah channel of access untuk sebuah kumpulan pendesak? Secara ringkasnya, ia boleh mempengaruhi parti politik, pendapat umum dan institusi-institusi kerajaan sendiri.

Beberapa ahli politik Barat seperti Wilson, Scott dan Hrebenar mengatakan gelombang pembentukan NGO atau kumpulan pendesak di US telah bermula pada tahun 1830an lagi. Kemuncaknya adalah pada tahun 1900-1920an dan ia terus berkembang sehingga ke hari ini. Dan Wilson berpendapat interest group ini boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk, pertama ialah Protective Group or Functional Group dan kedua ialah Promotional Group.

Kumpulan pertama (Protective Group) merangkumi sekumpulan masyarakat yang melindungi kepentingan mereka daripada dasar dan polisi kerajaan. Keahliannya tertutup dan faedah perjuangannya juga hanya dinikmati oleh ahlinya sahaja. Contohnya, sekumpulan rakyat bergabung untuk mempertahankan kawasan kediaman mereka dari diambil oleh kerajaan untuk melebarkan jalanraya.

Kumpulan kedua (Promotional Group) pula terdiri daripada sekumpulan rakyat yang melontarkan pendapat mereka, mencanangkan polisi, dasar dan nilai alternatif kepada kerajaan. Contohnya, satu kumpulan rakyat yang menggagaskan supaya kerajaan lebih bersikap telus, adil dan akauntabiliti. Keahliannya terbuka dan faedahnya juga dinikmati oleh seluruh rakyat.

Berdasarkan input yang saya nyatakan diatas, saya ingin melontarkan pandangan peribadi untuk mematangkan perbincangan.Tidak tepat jika GAMIS ingin berundur semula ke belakang, tetapi terus memacu pergerakan dengan idea yang baru dan tindakan yang lebih energetik.

Pertama, saya bersetuju GAMIS mendaftarkan pertubuhannya untuk memperoleh status gerakan yang rasmi atas nama NGO. Mengikut maklumat yang saya terima, apabila GAMIS menjadi sebuah badan NGO yang sah, mahasiswa-mahasiswa kampus tidak segan silu untuk menjadi ahli GAMIS dan mereka lebih berani untuk tampil dalam situasi yang memerlukan aksi mereka.

Kedua, saya bersetuju kerana GAMIS tidak mengubah apa-apa dasar idealisme dan perjuangannya. Kekeliruan tentang dasar GAMIS mungkin juga berpunca kerana mahasiswa secara umumnya tidak pernah didedahkan dengan batang tubuh GAMIS itu sendiri. Ini kerana GAMIS hanya wujud dalam isu-isu semasa diperingkat nasional dan merespon terhadap sesuatu isu berdasarkan kepada keupayaan dan kefahaman mereka.

Ketiga, GAMIS harus mengkaji perjalanan gerakannya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Kajian itu mestilah dibuat secara menyeluruh dari aspek dalaman dan luaran dan ia mestilah boleh membuktikan graf prestasi GAMIS setiap tahun.

Keempat, gerak kerja NGO GAMIS mestilah mengambil kira keupayaan, kemampuan, kestabilan dan kekuatan akar umbi.

Kelima, tanggungjawab yang dipikul oleh GAMIS terlalu besar iaitu meliputi aspek tarbiyyah, politik kampus dan nasional, dakwah dipelbagai peringkat, kebajikan dan pengurusan organisasinya. Maka, seharusnya tanggungjawab itu disusun mengikut prioriti agar sesuatu matlamat jangka pendek dan jangka panjang itu dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Tindakan seterusnya adalah jawapan dari kekhilafahan ini. Rakyat mahu melihat gerakan mahasiswa itu bergerak bukannya statik dan terus menyepi. Bukan hanya sekadar kenyataan-kenyataan akhbar, ucapan-ucapan dan tulisan-tulisan. Tetapi, ia harus menyelami kekancahan masyarakat dan meneruskan tradisi diplomasi dan mencabar termasuklah berpartisipasi di Dewan Negara.

Akhirnya, saya juga memikirkan bahawa negara kita pada hari ini sudah mempunyai sebuah pakatan pembangkang yang kuat dan NGO-NGO lain yang sudah maju dan established. Sudah pasti, kesemuanya ini sudah normal dengan hidup masyarakat dan mereka juga sudah well verse dengan isu nasional.

Soalnya, bagaimana GAMIS ingin mencipta ruang diperingkat nasional disamping mendapat coverage yang baik dan benar-benar bersedia serta mahir dengan isu-isu negara terutamanya isu pendidikan dan pengajian tinggi? Dan adakah GAMIS sudah mampu mencengkam grass root universiti dan menjadi suara dominan kepada mahasiswa? Saya berharap, kesemua situasi ini sudah diambil kira untuk merancang plan tindakan GAMIS yang lebih hebat untuk masa akan datang.

Imtiyaz House

No comments: