Tuesday, June 17, 2008

Tragedi Minyak Jun (Siri Pertama)


Ketika YAB PM menjawab soalan pertama di Parlimen pada 30hb April 2008, beliau telah menyentuh mengenai kenaikan harga barang dan harga minyak. Perkara yang dilontarkan oleh YAB PM adalah respon kepada soalan yang ditanyakan oleh YB Razali Haji Ibrahim (Ahli Parlimen Muar) mengenai bagaimanakah kerajaan mahu memperbaiki kualiti hidup rakyat.
Persoalan ini juga adalah bertujuan untuk menjawab tohmahan rakyat dan Pakatan Rakyat sebelum PRU. Sepertimana yang kita maklum majoriti swing yang dibuat oleh kaum Cina, Kaum India dan Kaum Melayu adalah rentetan daripada kelemahan dan pengabaian kerajaan terhadap rakyat serta memungkiri janji!
Jawapan YAB PM disiarkan secara LIVE hasil usaha Kementerian Penerangan Malaysia.
YAB PM berkata tentu sekali kenaikan harga minyak yang menjangkau USD 120 bagi satu barrel akan melibatkan kenaikan harga barang-barang dan kenaikan kepada pengangkutan dan sebagainya. Solusi yang difikirkan perlu pada ketika itu ialah dengan menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada ahli Jemaah Menteri dan pegawai-pegawai tinggi (tanpa pembangkang) untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Sudah pasti tindakan ini untuk mengurangkan beban rakyat berikutan daripada kenaikan harga minyak.
Maka, YAB PM mengisytiharkan dalam Parlimen beberapa langkah yang diambil untuk mengatasi kenaikan harga barang kesan daripada kenaikan harga minyak. Ia adalah;
  • Peruntukan RM4 bilion untuk bekalan makanan negara mencukupi.
  • Dasar menjamin barang makanan (food security policy)
  • Mewujudkan stok penimbal.
  • Kemudahan-kemudahan kepada rakyat diutamakan.
  • Beberapa projek-projek RMK9 yang perlu ditangguhkan dan dikurangkan peruntukannya akan dilihat semula
  • Mengutamakan projek berkepentingan rakyat (people oriented project)
  • Membekalkan rumah-rumah mampu sewa dan mampu beli di kawasan-kawasan luar bandar ataupun di kawasan kemiskinan dalam bandar
  • Mengurangkan jurang pendapatan dikalangan golongan etnik
  • Pembangunan komuniti di Sabah dan Sarawak

Daripada jawapan yang dikemukan oleh YAB PM jelas menunjukkan yang beliau memfokuskan kepada solusi meringankan bebanan rakyat kesan daripada kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga minyak. Punca utamanya adalah kenaikan harga minyak kemudian barulah kenaikan harga barang. Dengan itu, YAB PM tidak lagi membentangkan solusi atau jalan untuk menyelesaikan punca utama walaupun beliau telah menyedari harga minyak pada ketika itu menjangkau USD 120.

Kemudian, pada 7hb Mei di Dewan Rakyat, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan II, menerangkan kepada ahli-ahli Yang Berhormat dan beliau sendiri mengakui bahawa negara Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka telah menerima cabaran yang sengit kerana persekitaran global yang tidak konsisten dan menentu. Korelasi ini berlaku melalui hubungan perdagangan Malaysia dan pasaran kewangan.

Persekitaran global itu lebih menjurus kepada kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (US) kerana krisis pinjaman sub-prima dan harga komuniti global yang naik mendadak. Tan Sri Nor Mohamed berkata, perkara ini akan mengakibatkan satu trend perubahan kuasa ekonomi dunia yang mana abad ke-20 adalah abad bagi US dan abad ke-21 adalah abad bagi Asia. Beliau juga begitu yakin meskipun ekonomi global meninggalkan impak yang besar kepada negara, namun asas ekonomi domestik terutama fleksibilitinya mampu mengukuhkan daya tahan dan mengendurkan risiko tersebut.

Beliau seterusnya mengakui ketika harga minyak berada pada USD 122 setong (6hb Mei 2008), maka negara-negara Arab akan memperolehi kekayaan berlipat kali ganda. Jangkauan pendapatan negara-negara tersebut dalam tempoh 10 tahun mendatang adalah USD 20 trilion. Tempias kekayaan ini juga akan mengalir ke Malaysia kerana negara-negara Arab tertarik dengan sistem perbankan Islam negara yang dipelopori sejak 1983. Maka, Tan Sri Nor dengan penuh yakin mengatakan bahawa kerajaan mampu memulihkan ekonomi negara dalam tempoh yang begitu singkat sepertimana pada tahun-tahun 1984, 1986, 1997 dan 1998.

Dari penjelasan Tan Sri itu, maka kita juga maklum bahawa kenaikan harga minyak dunia ini akan meningkatkan lagi pendapatan negara sepertimana yang berlaku kepada negara-negara Arab kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak.

Cuma, rakyat tidak tahu penyata kewangan tahunan Petronas secara terperinci kerana perkara ini tidak dibincangkan di dalam Parlimen meskipun ia pernah didesak oleh pembangkang seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan yang terbaru dalam sidang yang lalu iaitu Saifudin Nasution.

Apa yang rakyat maklum jika merujuk kepada hansard Parlimen, 7hb Mei 2008 mengenai pendapatan negara daripada Petronas adalah seperti berikut;

  • Laporan Kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2007 mencatatkan 35.4% disumbangkan kepada kerajaan – YB Saifuddin Nasution
  • Tahun 2007, daripada keuntungan RM 79.6 bilion, RM 46.3 bilion diserahkan kepada kerajaan dalam bentuk cukai, royalti, duti dan lain-lain. – YB Dr Mohd Puad Zarkashi
  • Penyata kewangan Petronas pada tahun 2007, kerajaan mendapat RM 48.3 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti. Jumlah ini merupakan 66.2% dari keuntungan kasar Petronas. – YB Khairy Jamaluddin

Persoalannya, dimanakah duit Petronas yang diperolehi oleh kerajaan dibelanjakan?

Apakah sektor-sektor yang menerima hasil Petronas tersebut?

Imtiyaz House

No comments: