Thursday, August 7, 2008

ZOOM IN : Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh : 26hb Ogos 2008 (1)

Kronologi, Data dan Lontaran Opinion

31hb Julai 2008

Dato’ Seri Wan Azizah Ismail, Presiden PKR dan juga Ahli Parlimen Permatang Pauh telah menghantar surat perletakkan jawatan kepada Tan Sri Pandikar Amin, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat bagi memberikan laluan Pilihanraya Kecil diadakan. Secara tidak langsung, ia memberikan laluan kepada Ketua De Facto Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dan meneruskan laluannya ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri.

Lontaran Opinion :

Sebelum daripada ini, ura-ura mengatakan bahawa DSAI akan bertanding di Parlimen Kulim - Bandar Bharu berikutan daripada petisyen PR yang difailkan oleh BN kerana mendakwa YB Zulkifli Nordin gagal menghantar penyata kewangan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-11 yang lalu.

Begitu juga sebelum daripada ini, DSAI juga pernah meminta rakyat Bandar Tun Razak untuk memberikan sokongan kepada beliau sekiranya beliau bertanding di Parlimen tersebut. Ia dijangka berlaku disitu memandangkan untuk meringkankan beban dan tanggungjawab YB Tan Sri Khalid Ibrahim. Ada juga ura-ura yang mengatakan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak sudah lama diintai oleh DSAI sebelum PRU ke-12 lagi.

Satu pandangan lain juga mengatakan bahawa DSAI mungkin akan memilih Parlimen Lembah Pantai disebabkan tempat itu adalah kawasan anaknya sendiri dan ia lebih mudah untuk berunding. Walaubagaimanapun, penyertaan Nurul Izzah sebagai politikus muda dalam arena politik negara adalah satu tindakan yang bagus dan perlu diberikan perhatian yang serius.

Tidak lupa juga, ada yang mengatakan pada waktu inilah YB Azmin Ali harus mengorbankan kerusi Parlimen Gombak untuk diberikan kepada Penasihat PKR itu.

Secara peribadi saya berpendapat bahawa tempat yang paling baik adalah di Parlimen Permatang Pauh. Ini bukan bermakna saya mempertikaikan kewibawaan Dato’ Seri Presiden tapi bagi melihat kredibiliti kepimpinan DSAI dan DSWA terjaga, maka lebih elok sekiranya PKR mengurangkan keterlibatan keluarga dalam politik parti.

Sekiranya DSAI memilih kerusi selain Permatang Pauh maka, akan lebih mudahlah BN terutamanya UMNO menggunakan isu politik keluarga dalam PKR sebagai senjata dan ia lebih tepat lagi sekiranya mereka mengatakan DSAI terlalu tamak merampas kerusi Ahli Parlimen yang lain.

Kesimpulannya, pemilihan kerusi Permatang Pauh adalah lebih selamat dari segi moral dan strategik, lebih bermotivasi dan lebih mudah diterima oleh rakyat.

Berikut adalah keputusan PRU ke-12 bagi Parlimen Permatang Pauh, Bandar Tun Razak, Gombak, Lembah Pantai dan Kulim-Bandar Bharu.

Permatang Pauh
PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail : 30, 338
BN Datuk Pirdaus Ismail : 16, 950
Majoriti : 13, 388

Bandar Tun Razak
PKR Tan Sri Khalid Ibrahim : 28, 123
BN Datuk Tan Chai Ho : 25, 608
Majoriti : 2, 515

Gombak
PKR Mohamed Azmin Ali : 40, 334
BN Said Anuar Said Ahmad : 33, 467
Majoriti : 6, 867

Lembah Pantai
PKR Nurul Izzah Anwar : 21, 728
BN Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil : 18, 833
BEBAS Periasamy a/l Nagarathnam : 489
Majoriti : 2, 895

Kulim – Bandar Bharu
PKR Zulkifli Nordin : 22, 255
BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir : 16, 672
Majoriti : 5, 583

Meskipun DSAI memilih kawasan selamat di Permatang Pauh, namun kemenangan DSWA pada tahun 2004 agak tipis iaitu hanya sekitar 590 sahaja. Umum mengetahui bahawa pada tahun tersebut keadaan politik negara dibantu dengan faktor kritikal DSAAB yang sering diseiringkan dengan imej Mr Clean dan Mr Nice Guy. Pada tahun 1999 iaitu ketika pertama kali DSWA bertanding dalam PRU dan dibantu dengan faktor Reformasi Rakyat 1998, beliau menang dengan majoriti 9077.

Berdasarkan daripada sejarah PRU di kerusi Permatang Pauh tersebut, ia seolah-olah tidak konsisten dan agak dramatik.

1969
Mohd Nor Bakar (PP)
Musa Mohd Yatim (PAS)
Parti Perikatan menang

1974
Ariffin Md Daud (BN)
Abu Bakar Murni (Pekemas)
Baharuddin Ibrahim (PSRM)
BN menang

1978
Ariffin Md Daud (BN)
Zabidi Ali (PAS)
PAS menang

1982
Anwar Ibrahim (BN)
Zabidi Ali (PAS)
Tan Ah Huat (DAP)
BN menang

Anwar meneruskan tradisi kepimpinannya di Permatang Pauh sekurang-kurangnya 15 tahun sehinggalah beliau dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO dan ahli UMNO. Jika tidak silap, Anwar menyertai BN sekitar tahun 1982. Ini juga dapat membuktikan bahawa pengaruh yang ada pada DSAI ini adalah amat kuat dan sukar untuk diperlekehkan. Meskipun, beliau dikecam hebat oleh rakan-rakannya khususnya daripada ABIM, namun beliau masih lagi mampu memenangi kerusi Permatang Pauh tersebut pada tahun 1982.

bersambung..

No comments: