Friday, August 8, 2008

Mahasiswa TIDAK PERLU turun ke Permatang Pauh – Sekadar cadangan.


Saya telah menjangkakan front mahasiswa akan menyerbu Pilihan Raya Kecil di Permatang Pauh untuk melakukan aksi politik setelah melihat pengisytiharan yang dibuat di Universiti Malaya beberapa hari yang lepas yang mana telah mengumumkan seramai 5000 mahasiswa akan turun ke sana.

Saya berpendapat, mahasiswa TIDAK PERLU menyertai Pilihan Raya Kecil tersebut setelah saya mengambil kira beberapa faktor.

Pertama, pilihanraya ini adalah satu pilihanraya yang memberikan impak yang besar dalam politik negara. Samada Pakatan Rakyat menang ataupun Barisan Nasional yang menang. Kehadiran mahasiswa di Permatang Pauh tidak memberikan kesan yang tinggi dalam situasi yang berlaku di sana. Tambahan pula momentum dan top guns political party akan terus memalapkan gerombolan mahasiswa di sana.

Kedua, setelah saya meneliti laporan gamisdaily.com (5,000 mahasiswa akan gempur Permatang Pauh), kewujudan mahasiswa adalah untuk menjelaskan pendiriannya mengenai beberapa isu-isu yang berlaku di negara dan memujuk rakyat untuk turun dan mengundi berdasarkan maklumat yang tepat dan benar. Agenda mahasiswa ke sana tidak mampu memberikan kesan kepada rakyat kerana front tidak mempunyai dana yang cukup, kekuatan dan pengaruh yang kuat. Tidak cukup hanya sekadar turun berjumpa rakyat dan menjelaskan beberapa isu sahaja.

Ketiga, memandangkan isu yang berlaku pada hari ini terlalu banyak kekeliruan dan kekaburan termasuklah mengenai tuduhan sodomi terhadap DSAI dan kebobrokan imej negara, maka mahasiswa seharusnya mengambil sikap tidak perlu campur tangan dalam pilihan raya kecil ini.

Maka, saya ingin melontarkan beberapa pendapat untuk tindakan mahasiswa dalam pilihan raya ini nanti.

Pertama, front mahasiswa membuat deklarasi atau surat terbuka kepada DSAI seperti ‘Harapan Mahasiswa dan Rakyat Jika Anwar di Pihak Yang Betul.’ Dalam deklarasi tersebut, mahasiswa harus menyatakan tuntutan-tuntutan mahasiswa dan rakyat sekiranya beliau menang dan menjadi Ketua Pembangkang seterusnya mampu membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kedua, mahasiswa mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tugas dengan penuh keadilan dan ketelusan. Mahasiswa perlu membawa bukti tentang beberapa ketempangan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Dalam soal ini, mahasiswa pula yang menjadi pressure group kepada SPR bagi memastikan perjalanan pilihan raya berada pada tahap yang terbaik.

Ketiga, mahasiswa mendesak kerajaan supaya tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen kepada Barisan Nasional termasuklah kereta kerajaan, duit rakyat, infrastruktur awam, pihak polis dan sebagainya. Mahasiswa boleh mengumpulkan bukti-bukti untuk tindakan lanjut selepas pilihanraya. Ini juga termasuklah penggunaan media RTM supaya tidak berlaku diskriminasi kepada mana-mana pihak. Liputan sewajarnya mestilah dibuat secara saksama dengan parti-parti yang bertanding.

Keempat, mahasiswa boleh mengadakan solat hajat besar-besaran di Kuala Lumpur untuk memohon kepada Allah supaya sentiasa memberikan keredhaanNya kepada Malaysia dan rakyatnya.

Saya lontarkan sebagai pandangan peribadi dan mengharapkan agar situasi politik negara kita akan semakin baik dan sihat.

Walaubagaimanapun, apa jua tindakan front mahasiswa saya tetap menyokong dan akan membantu dengan sewajarnya.


No comments: