Tuesday, August 19, 2008

Gugah Pemikiran Dengan Realiti


Saya menulis artikel ringkas ini untuk kita sama-sama memikirkan survival dan kematangan golongan pemuda dan pemudi terutamanya graduan-graduan negara sekiranya kita bercita-cita ingin menjadi seorang negarawan, pendidik, penggubal polisi, peguam dan hakim, ahli ekonomi dan korporat serta aktivis rakyat.

Trend menulis, membaca, menganalisis dan memikir dewasa ini kena perlukan sedikit perubahan. Tidak perlu tukar 360 darjah, mungkin hanya sedikit sahaja. Ikut bersesuaian dengan mentaliti sedia ada.

Apa yang saya ingin tekankan kepada kita semua adalah corak pemikiran yang perlu ditambah nilai. Saya tidak bercakap mengenai politik nilai kerana itu aset pertama yang perlu ada bagi seorang pemuda dan pemudi. Ahli politik juga sebenarnya mempunyai politik nilai dan bukan hanya ada pada mahasiswa.

Pemikiran yang perlu ditambah itu adalah pemikiran yang berasaskan kepada kepraktikaliti dan realiti semasa di Malaysia. Saya optimis melihat kekuatan pemikiran yang ada pada kita hari ini berada pada tahap yang baik.

Namun begitu, kita mesti mengurangkan topik atau substansi pemikiran yang berlegar sekitar falsafah dan nilai yang infiniti. Saya tidak mengatakan nilai dan falsafah itu tidak penting, tapi mesti dikurangkan. Kita tambahkan dengan diskusi, perbincangan dan wacana yang lebih realiti dan bersangkutan dengan konteks negara.

Sebagai contoh, saya teringin melihat pemuda dan pemudi mengutarakan soal ekonomi negara. Berfikir dan berdiskusi mengenai rukun GDP, CPI atau jobless growth yang sebenarnya sering diperdebatkan dikalangan ahli akademik, aktivis mahupun ahli politik.

Melontarkan alternatif-alternatif baru mengenai hala tuju pendidikan negara samada diperingkat pra sekolah, rendah, menengah dan tertiari.

Mengupas dengan lebih matang soal perpaduan kaum, perundangan, persejarahan negara, perhubungan antarabangsa termasuklah polisi luar negara.

Ini kerana dalam kerangka gerakan massa, intipati-intipati tersebut perlulah dibiasakan. Ia juga sebagai satu persiapan mentaliti dan mencorakkan kepimpinan negara dan masyarakat pada masa akan datang.

Namun, saya menghargai semangat perjuangan pemuda-pemudi hari ini.

Kita teruskan berjuang!

No comments: