Trend politik negara pada hari ini semakin dinamik. Kemenangan DSAI dalam Pilihanraya Kecil P44 Permatang Pauh merupakan satu indikator bahawa rakyat menerima agenda perjuangan yang dibawa oleh beliau dan Pakatan Rakyat. Ia lebih baik disebut sebagai Kuasa Rakyat. Sejak dari Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, rakyat lebih cenderung memilih untuk melakukan perubahan.
Perubahan daripada trend politik lama kepada satu trend politik yang baru. Jika dulu, rakyat menganggap parti pembangkang sebagai parti kosong yang hanya tahu membantah setiap dasar kerajaan. Tetapi, hari ini rakyat melihat parti pembangkang dengan lebih murni. Persepsi rakyat terhadap perkataan pembangkang telah dilihat sebagai satu harapan pembaharuan. Tambahan pula, parti pembangkang sudah lenyap dan diganti pula dengan Pakatan Rakyat. Perkataan Rakyat lebih lunak dan lebih meyakinkan.
Jika kita imbas sewaktu penggal Pilihanraya Umum 2004, Barisan Alternatif agak lesu. Samada di Parlimen mahupun di pentas nasional. Rakyat tidak ada keyakinan untuk memberikan harapan kepada BA. Pada masa yang sama kuasa BN menlangkaui tradisi apabila mampu menggondol 90% kuasa di Parlimen dan hanya memerlukan dua kerusi sahaja lagi untuk menjatuhkan pemerintahan Islam di Kelantan.
Namun, sejak mobilasi demi mobilasi yang dilakukan oleh NGO dan komponen BA, contohnya HINDRAF, Bar Council dan BERSIH di akhir Disember 2007 yang lalu, rakyat dilihat semakin matang menaakul situasi semasa. Kekuatan pemimpin BA pada ketika itu dan kehadiran DSAI dalam ruang politik negara semakin lebih meyakinkan. Mengapa jika PAS sahaja yang meminta tenaga rakyat untuk dimobilisasi ia kurang mendapat sambutan? Mengapa jika kenyataan-kenyataan pemimpin DAP juga kurang mendapat perhatian rakyat? Ini juga bertitik tolak daripada keyakinan rakyat untuk bersama-sama dengan mereka. Tetapi, apabila insan bernama Anwar Ibrahim bersama-sama menerajui PKR dan menggembleng PAS dan PKR, rakyat seolah-olah terus memberikan keyakinan kepada pembangkang.
Lebih mengukuhkan keadaan apabila, kebusukan dan kehanyiran agenda UMNO dan BN telah dibongkarkan satu demi satu. Bukan hanya isu-isu kecil tapi isu-isu besar dan mengakibatkan pemimpin-pemimpin utama BN. Maka, dengan pengurusan persepsi yang dibuat oleh pembangkang terhadap isu-isu ini, maka rakyat mendapat maklumat yang logik dan seterusnya mereka arif dengan sesuatu isu yang berlaku. Contohnya isu rasuah, kenaikan bayaran tol, jenayah, ekonomi, pemimpin-pemimpin yang ketandusan akhlak, penipuan, penyelewengan dan tidak cakna kepada rakyat. Maka, rakyat sudah tidak mahu dengan pemimpin seperti ini. Rakyat mahu sesuatu yang lebih baik. Topik politik juga sudah semakin kerap dibincangkan walau di pejabat kerajaan sekalipun.
Ada beberapa lapisan rakyat yang menerima tekanan ini. Contohnya golongan-golongan elit dan korporat. Dalam politik, malah dalam kerajaan sendiri mesti wujud blok-blok kuasa. Apabila kepentingan bisnes mereka diancam oleh blok kuasa yang lain, maka timbul rasa berdendam dan ingin mensabotaj. Maka, kekuatan itu telah terlerai dengan perkara-perkara jelik ini. Akhirnya, wujud agenda guling mengguling. Jika seseorang politikus itu tidak ikhlas berjuang, maka ia lebih minat menjadikan kuasa sebagai tunggangan mengaut keuntungan dan kekayaan.
Kemudian, golongan pertengahan yang dikatakan golongan majoriti dalam negara hari ini. Kebanyakan keputusan-keputusan yang dibuat oleh policy maker banyak mengambil kira golongan ini. Apabila polisi-polisi yang dibuat menekan golongan ini, maka golongan ini akan bertindak balas. Reaksi itu pelbagai samada secara senyap, diplomasi mahupun konfrontasi. Sejak tahun ketiga dan keempat tempoh pentadbiran YAB Pak Lah, kebanyakkan polisi-polisi kerajaan menghukum rakyat dengan kejam. Rakyat juga sudah mangli dengan mainan-mainan kerajaan. Oleh sebab itu, rakyat sudah tidak mahu diperbodohkan lagi.
Justeru, golongan-golongan ini sudah bangkit. Mereka bangkit berdiri dibelakang pemimpin-pemimpin pembangkang yang sudah diyakini. Ramai pemerhati, penganalisis mahupun pensyarah politik tidak dapat menafikan ia adalah gelombang rakyat hasil daripada kesepaduan perancangan pembangkang. Malah, mereka juga kerap kali mengatakan bahawa kemenangan besar PRU baru-baru ini adalah faktor Anwar yang berjaya membayangi Pak Lah dan Najib. Dalam masa yang sama, rakyat juga bersetuju jentera kerajaan yang diterajui oleh Pak Lah dan Najib adalah lemah! Slogan yang sama diulang-ulang tanpa ada tindakan yang drastik.
Apakah hasilnya daripada perubahan ini?
Pertama, jika dilihat daripada komponen Pakatan Rakyat, maka umum mengetahui bahawa Pakatan Rakyat lebih meraikan kaum Cina dan India. Tambahan pula, penganalisis politik juga mengatakan bahawa kemenangan wakil-wakil Melayu Islam di kawasan komposisi kaum yang seimbang adalah banyak disumbagkan oleh kaum Cina dan India. Maka, dalam masa yang sama, suara dan kehendak dari kaum Cina dan India mestilah diambil kira dan dilaksanakan. (Walaupun kadang-kadang permintaan itu di luar dugaan).
Perkongsian kuasa diperingkat negeri sudah diuji. Toleransi demi toleransi diamalkan dan tidak dinafikan ada sesetengah pihak yang terpaksa makan hati. Walaubagaimanapun, ia terpaksa ditelan untuk maslahah jangka panjang. Dalam politik, kuasa itu penting. Baki lagi, bagaimana kuasa itu dipergunakan. Ia lebih sukar sekiranya Pakatan Rakyat akan berkongsi kuasa di peringkat pusat. Sudah pasti, setiap komponen dalam Pakatan Rakyat mesti mempunyai agenda tersendiri.
Seterusnya berkaitan dengan pengaruh ra’yul ‘am atau public opinion. Sekarang ini sudah semakin luas dan rakyat di golongan pertengahan lebih dominan menguasai dan dikuasai oleh mekanisme yang mempengaruhi minda mereka. Substansinya juga semakin mencabar. Oleh yang demikian, setiap mekansime penerangan perlu di-upgrade. Mesti lebih popular, terkini dan tepat. Surat khabar juga sudah semakin banyak. Utusan, Berita Harian, NST, The Star, Harakah, Siasah, Wasilah, Watan, Sinar Harian, Kosmo, Metro, The Sun dan banyak lagi tabloid serta majalah-majalah yang lain.Ini belum lagi portal atau web berita dan blogosphere. Koridor maklumat itu sudah semakin padat.
Perjuangan politik dakwah itu masih panjang lagi. Sudah pasti, politik baru hari ini memerlukan strategi dakwah yang lebih licik dan efektif. Itulah cabarannya! Diantara ruang-ruang yang mesti diisi oleh pemuda pemudi Islam diantaranya adalah disektor penggubalan polisi, sektor civil movement termasuklah NGO atau badan-badan dakwah dan persatuan penduduk, sektor kritikal, sektor budaya, sektor pendidikan, sektor ekonomi, sektor perundangan dan lain-lain. Ini perlu digarap dengan keupayaan intelektual, jaringan sosial, kewangan, mobilisasi, imej, publisiti dan perancangan strategik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment