Saya mengkagumi kekuatan, keazaman dan kesatuan rakan-rakan dan aktivis-aktivis mahasiswa untuk mengembalikan semula peranan mahasiswa di lapangan ummah. Front mahasiswa sudah sebati dengan slogan-slogan mahasiswa dan rakyat. Professor DiRaja Ungku Aziz juga pernah menasihati bahawa universiti yang baik adalah universiti yang menggambarkan masyarakat sebenar di luar. Begitu juga lontaran idea oleh mantan Naib Cancelor Universiti Malaya satu ketika dahulu, Sir Alexander yang mahu mahasiswa lebarluaskan lagi pengaruh dan tanggungjawab mereka dilapangan lebih luas yang mencakupi pelbagai bidang kehidupan.
Opini saya kuat mengatakan satu kekurangan yang masih belum terisi penuh di dalam jasad gerakan mahasiswa adalah kepercayaan masyarakat atau rakyat setempat terhadap mahasiswa. Jika kita mengambil pengiktibaran daripada prinsip Laws of Leadership (21 Irrefutable Laws) yang digariskan oleh John C. Maxwell, beliau menegaskan bahawa trust atau kepercayaan satu elemen yang cukup penting dalam kepimpinan (Law of Trust). Setelah kepercayaan tersebut ditanam dalam minda dan jiwa rakyat, maka barulah seorang pemimpin itu mudah untuk menavigasi rakyat ke arah matlamat yang telah digagaskan.
Justeru, menginsafi peranan berat dan murni yang harus dipikul oleh aktivis dan gerakan mahasiswa, maka saya dengan rasa rendah diri mencadangkan agar front-front mahasiswa melancarkan atau memperkasakan sebuah Tabung Seringgit Mahasiswa Untuk Rakyat bagi membantu meringankan bebanan rakyat yang menghadapi masalah kesulitan dan keperitan hidup. Jangan kita terlalu idealistik tapi mulakanlah dulu dengan menyumbang RM Seringgit (RM 1) setiap bulan. Kita pastikan jumlah kutipan setiap bulan itu akan kita salurkan kepada mana-mana kes rakyat yang memerlukan mengikut prioriti pertimbangan gerakan mahasiswa. Jika kita hanya mampu mengumpul RM 500 sahaja sebulan, kita tetap akan serahkan duit tersebut kepada rakyat. Ini bukan soal ‘what you get, but how you get there’.
Saya juga yakin sumbangan satu ringgit sebulan tidaklah begitu besar malah tabung ini akan dikumpulkan secara kolektif. Sekiranya ahli GAMIS sahaja sudah menjangkau 2000 orang, maka tak mustahil sekurang-sekurangnya kita boleh mengumpul RM 1000 sebulan. Mahasiswa tidak mengharapkan terima kasih rakyat dan kalungan ucapan tahniah cuma hanya sekadar sekelumit tanggungjawab mahasiswa kepada rakyat. Kita tidak mengejar ambisi yang palsu tapi hanya untuk memastikan terbentuknya sebuah negara Malaysia yang sejahtera.
Kita juga harus merenung sifat para sahabat Rasulullah SAW iaitu Abi Zaar RA dan beberapa orang sahabat baginda yang agak berkecil hati melihat orang-orang yang kaya mendapat pahala yang lebih kerana bersedeqah. Lalu Rasulullah SAW menjawab bagi menenangkan hati mereka, “Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu bersedeqah? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedeqah, dan tiap-tiap takbir itu sedeqah, dan tiap-tiap tahlil itu sedeqah, dan menyuruh ma’ruf dan mencegah mungkar itu juga sedeqah dan pada kemaluan kamu itu pun dikira sedeqah (menggunakan syahwatnya pada yang halal)”. Begitu juga dengan peristiwa sahabat-sahabat walaupun tidak sempurna tubuh badannya, tetap juga mencari walau secupak kurma untuk diberikan kepada perjuangan Islam dan jihad fi sabilillah.
Ayuh mahasiswa, kita buktikan!
“Satu Ringgit Mahasiswa Untuk Rakyat”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment