Wednesday, April 2, 2008

Wasiat Mufti Perlis Untuk Menyampaikan Berita

27hb. Mac 2008
Penerbit Buletin Utama TV3,
Sri Pentas
No.3 Persiaran Bandar Utama,
47800 Petalaing Jaya,
Selangor Darul Ehsan
Assalamualaikum wbt

Tuan,

KEPERLUAN BERITA YANG SAHIH LAGI BERSIH DARI SEBARANG PROVOKASI


Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara. Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka. Firman Allah dalam Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Dalam suasana negara sedang mengharungi kerencaman aliran politik dan pemikiran pada mutakhir ini, saya mengharapkan agar sumber-sumber berita sama ada TV, atau internet, akhbar dan seumpamanya bersifat adil dalam menyiarkan sesuatu berita. Sampaikanlah berita yang benar sekalipun mengenai pihak yang berbeza aliran dengan kita. Jauhi unsur-unsur prasangka dan provokatif. Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya. Biarlah rakyat yang matang membuat penilaian setelah mendapat maklumat yang sahih. Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.

Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapat
kepercayaan umum.


Sekian,

DR. MOHD ASRI BIN ZAINUL ABIDIN
Mufti Kerajaan Negeri Perlis


sumber : http://my.opera.com/SHAHAIKAL/blog/

No comments: