Wednesday, April 23, 2008

Jangan main politik macam inilah

Sumber : http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_6b71576d-3132372e-1e2e8cc0-79d7f9f8

Parti Gerakan akan memberikan surat tunjuk sebab kepada bekas Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Lee Kah Choon kerana menerima tawaran untuk bekerja dengan pembangkang.

Serentak dengan itu Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon turut mempersoalkan kewajaran perlantikan Kah Choon memandangkan beliau langsung tidak mempunyai pengalaman dalam sektor perlaburan. Menurutnya, selama ini kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) melantik Pengarah Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang dan Penang Invest daripada kalangan mereka yang berpenagalman luas dan mempunyai hubungan antarabangsa yang baik.

“Perindustrian adalah sektor penting bagi pembangunan Pulau Pinang, jadi tidak wajarlah Ketua Menteri (Lim Guan Eng) bermain politik (dengan melantik Kah Choon) yang hanya akan menjejaskan usaha serta kemampuan negeri itu menarik pelaburan,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari Selasa.

Menurut kenyataan itu, keputusan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kenapa tindakan tidak boleh diambil terhadap Kah Choon di atas tindakannya itu dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu, Isnin malam. Kah Choon yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung Gerakan bulan lalu menerima tawaran yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk dilantik sebagai Pengarah PDC dan Penang Invest.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut ditanya mengenai perkara itu berkata, tindakan Kah Choon bertentangan dengan prinsip dan amalan Barisan Nasional dan menyerahkan kepada Gerakan untuk mengambil tindakan sewajarnya. Tsu Koon dalam kenyataanya menjelaskan, tindakan Kah Choon itu menyukarkan BN negeri itu untuk bertindak sebagai pembangkang yang berkesan kerana ada ahlinya terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri. Sedangkan katanya, parti itu telah mengeluarkan arahan kepada semua ahli-ahli partinya supaya melepaskan jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan JKKK di semua negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang.

Dengan itu katanya, tindakan Kah Choon menerima tawaran untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang jelas bertentangan dengan prinsip dan semangat arahan yang dibuat oleh parti.

No comments: