Thursday, April 17, 2008

Alhamdulillah...

Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

Setelah penangguhan prosiding sebanyak dua kali maka hari ini telah terjawab segala pertuduhan yang dilemparkan kepada saya. Prosiding yang bermula lebih kurang pada pukul 10.20 minit pagi tadi di Kamar Mahkamah UIAM mengambil masa hampir dua jam untuk pihak panel hakim membuat keputusan yang diketuai oleh Prof. Dr Ismail. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua rakan-rakan, pihak media dan aktivis-aktivis yang lain kerana memberi sokongan kepada saya. Kes ini telah berpihak kepada saya dan pihak panel hakim telah berbincang dan memutuskan saya didapati tidak bersalah.

Saya tidak dibenarkan untuk diwakilkan oleh mana-mana peguam atau wakil pensyarah bagi tujuan untuk membantu dan berhujah bagi pihak saya. Manakala pihak Unit Undang-Undang UIAM iaitu Encik Mohamad bin Mos bertindak sebagai pendakwa raya.
Pihak pendakwa raya telah memulakan penghujahan beliau dengan membentangkan pertuduhan-pertuduhan kepada saya. Dua pertuduhan itu ialah yang pertama saya dituduh mengeluarkan kenyataan umum di Suruhanjaya Pilihanraya pada 7hb Januari 2008 untuk membentuk Parti Mahasiswa Negara. Kedua, saya dituduh membentuk sebuah parti politik. Pertuduhan itu dibuat kerana pihak disiplin UIAM berpendapat saya masih lagi seorang mahasiswa di universiti berkenaan. Kemudian, pihak pendakwa raya telah menunjukkan klip video temuramah 2 minit yang dimuat turun dari laman web Malaysiakini sebagai satu bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Saya telah mengakui bahawa orang yang ditemuramah di dalam klip video itu adalah saya tetapi saya mengaku tidak bersalah di atas dakwaan-dakwaan yang dilemparkan kepada saya kerana saya percaya bahawa saya telah graduan daripada universiti tersebut. Maka, pokok pertuduhan ini adalah berkaitan samada saya masih lagi belajar ataupun sudah tamat belajar di UIAM. Pihak pendakwa raya telah membawa seorang saksi daripada staf Fakulti Ilmu Wahyu bagi menyokong dakwaan beliau. Saksi itu juga bersetuju bahawa saya telah melengkapkan segala kewajiban-kewajiban saya sebagai seorang mahasiswa dalam fakulti berkenaan cuma nama saya masih belum diluluskan oleh Senat kerana didapati status saya ialah digantung pengajian.

Saya berpendapat bahawa pihak UIAM tidak menjelaskan secara spesifik apakah yang dimaksudkan dengan perkataan student dan graduation / graduating. Hujah saya telah dibalas oleh pihak pendakwa raya kerana saya mendefinisikan perkataan students yang diterjemahkan di dalam Seksyen 2, AUKU 1971 tidak selari dengan perlembagaan universiti. Pihak pendakwa raya mengatakan bahawa UIAM dikecualikan dari AUKU kerana ia ditubuhkan di bawah Akta Syarikat (Company Act). UIAM juga mungkin tidak menjelaskan kepada mahasiswa bahawa status graduated itu digunakan kepada semua mahasiswa yang telah menamatkan peperiksaan akhir tahun dan lulus kesemuanya walaupun mereka masih belum menjelaskan beberapa perkara-perkara teknikal yang lain. Dan dengan status itu, mereka juga boleh untuk bekerja dengan mana-mana organisasi dan sebagainya.

Saya juga belum berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pihak pendakwa raya atau pihak Unit Undang-Undang UIAM sendiri apakah motif atau sebab mereka ‘menggantung pengajian’ saya sehingga saya dinafikan hak (legitimate expectations) untuk mendapatkan transkrip penuh, belum dapat diluluskan oleh Senat status graduasi dan disekat PTPTN. Mengikut Students Discipline Rules 2004 (Amendments 2006), Rule 4 (1), pihak disiplin UIAM hanya boleh menggantung mahasiswa paling maksimum selama 7 hari sahaja bagi tujuan penyiasatan. Ia disebut sebagai suspension pending investigation. Tetapi, bagi kes saya pihak disiplin telah ‘menggantung pengajian’ saya lebih daripada dua bulan.

Justeru, saya akan menunggu selama seminggu untuk mendapatkan laporan bertulis hasil prosiding itu. Kemudian, saya akan berbincang dengan pihak disiplin UIAM dan penasihat guaman saya untuk tindakan selanjutnya.

Saya dengan rendah diri menyeru kepada semua mahasiswa dan aktivis-aktivis rakyat untuk terus komited memperjuangkan hak-hak rakyat di bawah perlembagaan dan menghapuskan akta-akta yang drakonian terutamanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)

No comments: