Prosiding yang telah sepatutnya ditetapkan pada 7hb April 2008 pada pukul 3.00 petang ditangguh lagi. Email yang dihantar kepada saya pada tarikh 2hb April 2008 secara ringkas memaklumkan ‘postponed to another date’. Email itu dihantar oleh Penolong Pengarah, Unit Undang-Undang UIAM, Encik Mohamad bin Mos. Apa yang menyebabkan saya terkilan adalah mesej ringkas itu tidak memaklumkan sebab-sebab penangguhan. Tiada ada walau satu pun sebab untuk menangguhkan sesi prosiding tersebut.
Nasib baik saya sempat melihat email tersebut pada petang 4hb April 2008, jika tidak sudah pasti saya akan pergi ‘makan angin’ di kamar mahkamah UIAM. Walaubagaimanapun, saya menghargai usaha yang dibuat oleh pihak universiti untuk mengadili saya. Sebenarnya, prosiding yang pertama pernah dijadualkan pada 4hb Mac 2008 (Selasa). Saya sendiri telah meminta kepada salah seorang staf di Unit Undang-Undang UIAM untuk menangguhkan prosiding ini kerana saya tak sempat nak berbincang dengan peguam saya dan rakan-rakan yang lain. Namun, staf tersebut menasihati saya untuk hadir dulu ke prosiding dan baru memohon untuk menangguhkannya. Tetapi, saya mendapat panggilan telefon pada 2hb Mac 2008 (Ahad) petang daripada Encik Mohamad bin Mos dan beliau menasihati saya untuk menangguhkan prosiding dengan menyatakan beberapa alasan untuk menangguhkannya dan menulis nota ringkas kemudian emailkan kepadanya. Saya juga telah email kepada beliau pada petang tersebut dan beliau bersetuju untuk menangguhkannya.
Kemudian, surat yang saya terima pada 31hb Mac 2008 menetapkan sekali lagi terikh prosiding saya iaitu pada 7hb April 2008 (Isnin). Dan, sekali lagi Encik Mohamad Mos menghantar email kepada saya untuk menangguhkannya tanpa menyatakan apa-apa sebab daripada pihak UIAM. Saya akur sekali lagi dengan penangguhan tersebut walaupun ia seolah-olah untuk melengah-melengahkan kes saya.
Saya ingin menyatakan bahawa kes yang dituduh ke atas saya iaitu memberi kenyataan umum mengenai penubuhan dan agenda Parti Mahasiswa Negara (PMN) di SPR pada 7hb Januari 2008 adalah tindakan yang wajar. Cuma yang tidak mewajarkannya adalah saya tidak mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti. Agak rumit sekiranya ingin mendapatkan kebenaran UIAM terlebih dahulu kemudian baru boleh mengeluarkan kenyataan dalam media sedangkan pihak media telah berdepan dengan saya. Saya juga tidak menyatakan yang saya adalah mahasiswa UIAM.
Kemudian, pertuduhan kedua yang dibuat ke atas saya adalah saya dituduh menubuhkan sebuah parti politik (PMN). Penubuhan parti politik adalah hak seorang rakyat dan ia juga merupakan satu mekanisme yang mewajahkan demokrasi yang subur dalam negara kita. Tapi, disebabkan peraturan universiti saya tidak diizinkan dan dituduh melanggar peraturan.
Kesemua pertuduhan ini adalah disebabkan kerajaan menggubal Akta Universiti dan Kolej Universiti atau di peringkat UIAM disebut Peraturan Disiplin Pelajar-Pelajar 2004. Bayangkanlah, saya dan rakan-rakan mahasiswa yang lain di’gam’, diikat tangan dan kaki malah dimandulkan pemikiran selama 3 hingga 6 tahun daripada mengambil tahu hal ehwal negara dan disekat hak sebagai warganegara Malaysia. Inilah kesilapan AUKU atau peraturan tersebut. Mungkin, Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Dato’ Seri Khaled Nordin tahu jawapan bagi kemelut ini.
Saya tidak berasa menyesal atau kecewa dengan apa yang saya lakukan dalam aspek ini. Saya juga yakin, ramai lagi mahasiswa Malaysia yang besetuju dengan apa yang telah dilakukan oleh semua aktivis-aktivis mahasiswa sejak dari dulu lagi. Ia adalah soal berjiwa besar dan dipaksa mematuhi peraturan yang tidak demokratik!
Tuesday, April 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment