Hubungan PAS dalam PR
Terdapat juga soseh-soseh ahli dan pimpinan yang mengatakan hubungan diantara PAS dan komponen PR agak retak sedikit. Ini dapat diperhatikan dalam beberapa kenyataan media pimpinan ketika soal muzakarah UMNO dan PAS baru sahaja dimainkan media. Kenyataan yang pada akarnya menyokong muzakarah demi kepentingan Islam dan Melayu tapi rantingnya mencucuk-cucuk DAP dan PKR. Sejauhmana benarnya, mereka yang tahu. Mungkin disebabkan itu, muzakarah ini dibuat. Namun, ada juga beberapa pimpinan PAS dengan tegas mengatakan bahawa PAS akan tetap bersama PR walau digocang dengan isu muzakarah ini.
Asasnya, PAS, DAP dan PKR kena sentiasa duduk berunding dalam Majlis Tahalluf (Majlis Pakatan) dalam sesuatu isu yang menyentuh perkara-perkara dasar. Misalnya, isu kontrak sosial. Beberapa YB BN pernah mengasak YB Bachok sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih YDPA di Parlimen pada bulan Mei yang lalu mengenai kontrak sosial, DEB dan label bumiputera dan non-Bumiputera. Jelasnya, PAS tidak memberikan jawapan yang agak memuaskan ditambah lagi dengan beberapa kenyataan pimpinan DAP yang agak vokal dalam isu yang sama. Ini mengeruhkan keadaan.
Walaupun pada mulanya, PAS tidak mengangkat tema Negara Islam kerana mengambil beberapa pendekatan siyasah syar’iyyah, fiqh dan usul serta sirah sebagai pedoman namun slogan Daulah tidak semestinya akan terus padam dalam perjuangan PAS. Negara Berkebajikan telah menjadi kata sepakat komponen PR dalam PRU yang lalu. Selepas kemenangan ini, cabaran yang harus diurus oleh PAS adalah bagaimana ingin menterjemahkan substansi Daulah Islamiyyah dalam pengurusan dan pentadbiran disamping menghormati kaum dan agama lain. Inilah satu cabaran besar yang harus digalas oleh PAS.
Muzakarah PAS dan UMNO : Terlalu Dramatik
Dramatik dan mengasyikkan. Walaupun pada mulanya PAS sudah dilihat sebagai ‘playmaker’ dalam politik negara hari ini, tapi akhir-akhir ini survival PAS agak terancam dek kerana UMNO. Pada mulanya, umum mengetahui tidak wujud muzakarah. Kemudian timbul pula berita, sebenarnya muzakarah telah pun diadakan selang beberapa hari selepas PRU yang lalu terutamanya di Selangor. Tapi isu muzakarah telah dimurnikan dengan hanya muqabalah. Tanpa ada rahsia dan dibuat secara umum dan khusus untuk membincangkan masalah ummah dan agama. Inilah minda negarawan sepertimana yang disebut oleh YB Kubang Kerian dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Ahad yang lalu.
Lebih menarik apabila media meminta pandangan beberapa pimpinan PR antaranya Lim Guan Eng, Wan Azizah dan Tan Seng Giaw. Semuanya memberikan respon positif dengan muzakarah tersebut. Tidak perlulah terus melenting kerana ia hanya sekadar muqabalah. Tapi, UMNO lebih nakal sedikit. Pak Lah umumkan, “sebenarnya saya telah mengadakan muzakarah bersama ‘decision makers’ PAS sebanyak tiga kali sebelum ini”. Ditambah pula dengan kenyataan Khir Toyo bahawa ini bukan muzakarah biasa tapi ia adalah perbincangan kerjasama membentuk kerajaan PAS dan UMNO di Selangor. Maka, terloponglah mulut beberapa pimpinan PAS dengan pendedahan ini. Seterusnya, kuda tua DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang terus membidas kesetiaan PAS dalam PR.
Beberapa hari lepas, Tuan Guru Nik Aziz menyebut supaya PAS dan UMNO hendaklah dibubar dan bentuk parti baru tapi mestilah berasaskan ISLAM. Ini satu tarikan politik baru dengan isi yang lama. PAS banyak kali menyeru ahli-ahli UMNO tinggalkan perjuangan nasionalis dan sertailah perjuangan Islam. Cuma, kali ini Tuan Guru lebih berani dengan memantikkan kata-katanya. UMNO terlalu sukar membubarkan partinya terutamanya Najib kerana beliau hanya menunggu dua tahun sahaja lagi. Tak lama, tapi tak tentu. Cuba perhatian kenyataan maaf YB Pokok Sena merangkap Ketua Penerangan PAS dalam harakahdaily pada 28hb Julai 2008. Sebalik permohonan maafnya ada perkara tersirat yang perlu diperjelaskan. Apa dia, hayatilah sendiri.
No comments:
Post a Comment