Friday, July 25, 2008

MENGAPA PEMIMPIN MAHASISWA PERSOALKAN ISU MUZAKARAH PARTI POLITIK?

Isu muzakarah PAS dan UMNO adalah agenda politik kepartian. Parti sifatnya adalah ingin berkuasa dengan membawa agenda kepartian mereka sebagai teras untuk memperjuangkan negara dan rakyat. Parti politik akan menggunakan seluruh taktikal, strategi, muslihat untuk mendapatkan keuntungan politik supaya parti tersebut akan terus releven dan subur dalam komuniti di Malaysia. Dalam soal ini, gerakan mahasiswa adalah kumpulan pendesak di dalam negara yang memperjuangkan agenda kemahasiswaan, kemasyarakatan, keagamaan dan kenegaraan secara komprehensif.

Percanggahan pendapat dua front mahasiswa dalam media internet baru-baru ini adalah satu perkara yang memalukan dan tak sepatutnya berlaku. Apa kena mengena gerakan mahasiswa dengan muzakarah diantara parti politik. Gerakan mahasiswa bukan bergerak untuk menongkat kuasa parti politik. Kita adalah badan bebas yang bergerak dengan haluan dan pertimbangan sendiri serta mengesampingkan kepentingan mana-mana parti politik. Gerakan mahasiswa adalah untuk rakyat secara keseluruhan.

Kita mengharapkan front mahasiswa ini memberikan satu formula yang ‘fresh’ dan berkualiti bagi membangunkan negara dan membentengi kehidupan rakyat. Apa yang front mahasiswa lakukan untuk rakyat? Mahasiswa juga tidak dapat merasakan apa-apa nilai untuk menyokong front mahasiswa yang ada pada hari ini kerana ia tidak berperanan untuk membantu mahasiswa.

Apa yang front mahasiswa buat adalah sekadar kenyataan menyokong, membantah dan bersifat populis. Front mahasiswa kurang bergerak dan mempraktikkan secara kolektif untuk memperjuangkan isu agama, rakyat dan negara kita. Inilah kekurangan yang ada pada hari ini. Inilah juga cabaran yang harus dipikul oleh semua mahasiswa. Hanya masa kemahasiswaan ini sahaja yang kita ada untuk mendokong amanah rakyat dalam keadaan tidak mempunyai apa-apa kepentingan kepada politik kepartian.

Front mahasiswa mesti mengambil ketegasan ini dengan hanya menjadi pendesak kepada dasar dan polisi kerajaan, pengagihan ekonomi kepada rakyat secara adil, membangunkan jatidiri dan syakhsiyyah rakyat, mempertahankan Islam disamping menghormati agama dan budaya kaum lain dan merumpunkan semangat perpaduan didalam nilai perlembagaan dan persefahaman.

No comments: