Satu perkara yang saya benar-benar risau sekiranya rakyat terutamanya golongan muda-mudi mula merasa ‘mangli’ dengan kezaliman, kerakusan, penyelewengan dan penipuan yang dibuat oleh kerajaan. Hilang rasa survivor atau sikap perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. Luntur budaya cakna terhadap jiran, sebangsa dan pelbagai bangsa, seluruh rakyat dan negara. Sudah hilang kepercayaan terhadap parti-parti pembangkang, badan-badan sosial, gerakan-gerakan mahasiswa atau rakyat yang bertindak sebagai penimbang kehidupan kerajaan dan kabur dengan diri dan matlamat kehidupan.
Sejak pengumuman kenaikan harga petrol beberapa hari yang lalu, seolah-olah rakyat sudah menuju ke arah penyakit mangli itu. Hanya sehari dua rakyat mencemuh, mencaci dan mengutuk kerajaan. Kemudian, rasa itu terus malap kerana macam mana sekalipun rakyat terpaksa menggunakan petrol setiap hari meskipun terpaksa mengikat perut sedikit. Beberapa letusan-letusan kecil tanda protes mula nampak di awal-awal minggu. Namun mobilasi dan sokongan rakyat agak kurang. Mungkin kerana kesibukan mencari nafkah, tidak mendapat maklumat dan missed communication menjadi alasan yang simplistik.
Pada mulanya, saya agak berdebar menunggu saat 6hb Julai 2008. Saya menunggu sekali lagi himpunan raksasa di jalan-jalan raya sekaligus mengulangi nostalgia Himpunan Bersih, November yang lalu. Saya pasti masa panjang yang diambil oleh Sekretariat PROTES adalah untuk memberikan peluang kepada kerajaan mengubah semula polisi atau keputusan penstrukturan semula subsidi petrol dan gas. Manalah tau, kerajaan akan berubah dek kerana amarah rakyat. Namun, perkara itu tak berlaku! Kebiasaannya kerajaan akan mengubah sesuatu polisi sekiranya cadangan baik pulih datangnya juga dari kerajaan bukan dari parti pembangkang. Contohnya isu bayaran gaji dua kali sebulan! Tambahan pula, masa yang diambil sebelum 6 Julai adalah peluang dan ruang yang baik untuk mendoktrin rakyat dan menanam rasa keperitan kepada rakyat kerana keputusan yang gila ini. Maka usaha-usaha publisiti dan penerangan dijalankan dengan bersungguh-sungguh.
Beberapa hari sebelum himpunan PROTES ada beberapa perkara yang berlaku dalam negara kita yang boleh dimanipulasikan secara bijak sebagai ‘batu api’ kepada rakyat. Pertama, isu inflasi. Kedua, isu ISA. Ketiga, isu ‘vote of no confidence’ oleh parti SAPP. Keempat, isu RMK-9. Kelima, isu Raja Petra terhadap Najib dan keenam adalah isu tuduhan sodomi kepada Anwar Ibrahim. Enam isu ini dijangka boleh meletupkan lagi protes rakyat pada 6 Julai itu.
Sehari sebelum 6 Julai, saya agak kurang ghairah dengan himpunan sejuta rakyat memprotes kenaikan harga minyak. Saya juga tak membeli t-shirt mahupun headband PROTES. Saya nak jimat duit kerana petrol naik. Saya mula mendengar komen-komen negatif mengenai penganjuran himpunan ini. Baik dalam blogspot atau wordpress mahupun soseh-soseh teman seperjuangan. Secara logik, memang saya boleh terima semua komen tersebut.
Saya mula mengenali ‘demonstrasi’ sejak saya menuntut di Pusat Matrikulasi UIAM. Demontrasi yang pertama saya sertai adalah demonstrasi yang dianjurkan oleh KEADILAN bagi menggesa pembebasan Anwar Ibrahim di KLCC. Pada waktu itu juga, saya pertama kali merasai kenikmatan ‘mandi percuma’ oleh FRU.
Setakat pengalaman saya yang cetek, saya agak tidak berapa arif dengan selok belok demonstrasi atau nama manjanya himpunan aman. Bagi saya, demonstrasi adalah proses rundingan atau diplomasi terakhir setelah beberapa tindakan awal tidak dilayan mahupun dipeduli oleh pihak tertentu. Pada awalnya, kita ajak pihak terbabit berbincang atau bersidang, kemudian boleh berdebat atau bermuzakarah, kemudian menghantar surat bantahan, memorandum dan referendum. Akhir sekali, gunakanlah demonstrasi atas alasan untuk berdakwah secara tegas kepada pihak-pihak terbabit. Demonstrasi juga tidak digalakkan untuk diadakan terlalu lama kerana takut akan menghilangkan mood rakyat. Lebih baik sekiranya demonstrasi tersebut diadakan dihadapan pihak yang kita tuntut supaya mereka boleh mendengar dan mengundang rasa bersalah dan gelisah di hati mereka.
Pada 6hb Julai, saya sudah keberatan untuk menghadiri himpunan tersebut. Pada saya, saya hanya ingin hadir untuk dengar ceramah pada malamnya. Pada pagi dan petang hari tersebut, saya ambil peluang untuk pergi melihat keadaan sekitar Kuala Lumpur. Saya pergi ke Jusco Taman Maluri, TESCO Ampang, Carefour Jalan Peel dan ke KLCC. Apa yang menghairankan saya, semua tempat yang saya pergi penuh dengan manusia. Baik Melayu, Cina dan paling sedikit India. Kebanyakan dari mereka datang membeli belah, window shopping, hangging dan makan-makan. Seolah-olah rakyat tidak terhimpit dengan inflasi atau negara bakal menuju stagflasi. Adakah kerajaan telah benar-benar berjaya mengeluarkan dan mensifarkan kelompok miskin bandar di Malaysia? Kemudian, saya dapat SMS daripada Harakah mengatakan hampir 700 pasukan Unit Amal mengundurkan diri dari himpunan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan pengisian himpunan pada awal petang itu.
Saya terus sedih! Jauh hati saya terus benci sekiranya puak-puak BN tersenyum dan melonjak-lonjak gembiran mendengar berita ini. Saya terus buat keputusan untuk tidak menyertai langsung perhimpunan ini.
Pada 7hb Julai, saya sempat menonton berita jam 1.30 petang TV3. Sekadar nak melihat reaksi kerajaan. Apa yang saya dapat bukan reaksi kemarahan atau terkilan daripada kerajaan, malah saya hanya mendengar komen-komen sinis dan pedas. Antaranya, persembahan music band yang dikatakan terlampau dengan lirik lucah ‘menjilat’ dan aksi melondehkan seluar. Isu tindakan Unit Amal memboikot dan TV3 menggambarkan Himpunan Protes Sejuta Rakyat bertukar menjadi Karnival Protes ala Jom Heboh!
Saya tidak mempertikaikan keputusan syura yang bertanggungjawab dalam menganjurkan himpunan ini. Cuma, saya sekadar mengharapkan political experiments ini akan menjadi satu proses kematangan dalam usaha merajai sfera politik di negara Malaysia. Akhir sekali, maafkan saya kerana tidak menghadirkan diri..
Monday, July 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment