Tuesday, July 29, 2008

UMNO Semakin Sihat dan PAS Jatuh Sakit (Part 1)


Jika beberapa hari selepas PRU ke-12 Mac yang lalu, Putrajaya seolah-olah ingin menyambut satu kuasa politik baru untuk memimpin negara ke arah yang lebih beramanah, bersih dan adil. Lima puluh tahun yang sarat dengan pelbagai kemelut dan kekeruhan ingin diserlahkan dengan sinar dan kejernihan. Rakyat sudah nampak pelbagai hadiah dan ganjaran yang menarik hasil daripada satu undi yang dibuang. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini jalan ke Putrajaya semakin dilitupi kabus yang tebal. Perjalanannya sudah semakin mendung dan bersimpang siur. Apa yang tidak kena?

Perdana Menteri pernah mencatatkan rekod kejayaan UMNO dan BN gilang gemilang pada tahun 2004. Sembilan puluh peratus majoriti di Parlimen dan hampir keseluruhan kerajaan negeri di bawah kuasa BN menjadikan ia satu kuasa keramat yang sukar diganggu gugat oleh mana-mana ahli nujum politik negara. Walaubagaimanapun, setelah hampir lima tahun pentadbirannya, ‘trust’ yang diberikan oleh rakyat itu semakin hari semakin hilang daripada gemerlapan kuasanya. Letupan-letupan kecil di dasar laut pada tahun 2007 dan awal 2008 mengtsunamikan seluruh Semenanjung Malaysia akhirnya. Rupa-rupanya diam-diam rakyat, berisi jua. Kempen ‘Hanya Satu Undi’ betul-betul memberikan kesan kepada rakyat. Satu undi untuk cuba berubah! Apa yang paling mesti dikenang adalah Perdana Menteri juga telah merekodkan satu catatan sejarah terburuk dalam diari perjalanan UMNO dan BN sehingga hilang dua pertiga majoriti BN di Parlimen.

Maka, wujudlah satu nama baru iaitu Pakatan Rakyat. Secara tidak langsung ramai orang mula berhipotesis dan berteori mengatakan rakyat Malaysia pada hari ini menolak sentimen perkauman dan mendokong amalan perpaduan nasional tanpa mengira ras dan agama. Pakatan yang wujud sebelum PRU ke-12 mempunyai satu titik pertemuan atau faktor sepunya iaitu menubuhkan kerajaan yang lebih telus, lebih beramanah dan lebih adil. Disebabkan gagasan ini dan ditambah dengan beberapa faktor kritikal yang lain, maka rakyat memberikan satu undi perubahan sebagai harapan baru buat mereka. Lihat hasilnya samada di Parlimen dan di Dewan Undangan Rakyat. Betapa gahnya Pakatan Rakyat.
Anwar Sebagai Faktor Kritikal

Perkara ini sukar untuk disangkal. Sejak awal-awal lagi Anwar sudah mengatakan “Jika saya jadi Perdana Menteri, saya akan....” Bagaimana agaknya respon rakan-rakan PR terutamanya PAS? Adakah Tuan Guru Abdul Hadi tidak berkesempatan untuk diangkat menjadi PM. Memang tidak ada desup-desup yang mengatakan Tuan Guru akan menjadi PM, cuma Ibrahim Ali sahaja yang pernah mengisytiharkan dan menyokongnya di Dewan Rakyat pada bulan Mei yang lalu. Walaubagaimanapun, seolah-olah sudah sepakat Anwarlah nanti yang akan menjadi PM kerana karektornya, karismatiknya, kefahamannya yang jelas dalam pentadbiran kerajaan dan sokongan kaum-kaum lain terhadapnya.

Sepertimana yang dijangka, tatkala Anwar dan gerombolannya mendoktrinkan rakyat dengan 16 September 2008, maka setiap saluran ke arah tarikh itu telah disekat dan diputarligat oleh propagandis-propagandis UMNO. Satu demi satu isu yang terpaksa dilayan oleh PR. Sejak dari pelantikan Menteri Besar Perak dan Selangor, isu penghapusan DEB, isu projek Babi Negara, isu kemungkinan marginalisasi Melayu di Pulau Pinang, isu Jawatankuasa Kemajuan Kampung sehinggalah isu fitnah sodomi terhadap Anwar Ibrahim. Jika diperhatikan sedalam-dalamnya, kebanyakkan isu ini bertujuan untuk meleraikan ikatan PR dan isu yang paling tajam adalah PERKAUMAN. Isu inilah yang menjadi senjata UMNO dan BN untuk melumpuhkan pakatan yang baru hidup tak sampai setahun ini.



No comments: