Petang semalam (10hb Julai) sewaktu YAB PM mengisytiharkan yang beliau tidak akan lama di kerusi empuk PM menjadi satu tanda tanya yang jelas bahawa Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang Perdana Menteri yang tidak cukup kuat, tidak upaya, tidak teguh dan mudah goyah. Secara peribadi, saya kurang percaya dengan apa yang dibuat dan diumumkan oleh Abdullah Ahmad Badawi. Beliau terus memberikan kepercayaan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantikannya pada pertengahan tahun 2010.
Saya tidak percaya, tidak percaya dan tidak percaya ia akan berlaku.
Kalau ikutkan soseh-soseh yang saya dengar mengenai UMNO, ia tidaklah semurni dan sebersih itu.
Jika sebelum ini Tun Dr. Mahathir menyifatkan Pak Lah bukanlah pengganti sebenarnya dan ramai orang yang mengatakan Najiblah yang sepatutnya, maka Pak Lah harus faham dan sepatutnya terus mengukuhkan kuasanya. Mungkin Pak Lah bukan dari blok Tun Dr M. Tapi Pak Lah sudah pasti mempunyai segerombolan manusia yang teguh dan menjadi perisai yang kebal untuk mempertahankan kedudukan Pak Lah. Takkan mereka hanya akan tengok sahaja peralihan itu berlaku?!
Kemudian, dalam keadaan kegoncangan yang berlaku kepada Najib akhir-akhir ini secara tidak langsung mencalarkan imejnya, adakah Pak Lah hanya memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap apa yang berlaku? Sudah pasti rahsia sebenar sudah diketahui oleh Pak Lah. Dan tidak dapat dinafikan sekiranya apa yang berlaku kepada Najib mungkin atas remote control pihak atasan. Saya cuba memahami idea-idea yang ditulis dalam buku ‘Khairy Jamaluddin : Putera Dari Oxford ke Putrajaya’ terbitan Malaysia-Today. Secara kemas, KJ telah terlebih dahulu menempatkan orang-orangnya di pejabat Najib. Sekiranya betullah apa yang ditulis dalam buku tersebut, mana mungkin Najib akan berkuasa pada tahun 2010.
Dalam keadaan politik negara pada hari ini dan kemaraan DSAI dan Pakatan Rakyat, politik kuasa sudah mencapai satu klimaks yang terlalu genting. Bagi saya, ia antara Pak Lah, Anwar dan Najib. Pak Lah akan terus mengukuhkan kuasa, Anwar akan terus merampas kuasa dari luar dan Najib akan merampas kuasa dari dalam. Perlu diingat, kalau Ku Li mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian UMNO, Ku Li juga adalah pemain yang perlu diperhatikan kecergasannya.
Apa-apa pun, saya menyatakan kecenderungan saya bahawa Najib akan tersungkur hanya diperingkat Timbalan Perdana Menteri sahaja.
No comments:
Post a Comment