Saturday, May 3, 2008

MAHASISWA DAN PARTISIPASI BERPOLITIK

Disiplin ilmu Sains Politik telah memfokuskan mengenai partisipasi atau penglibatan kelompok manusia di dalam politik. Politik harus dilihat dari sudut yang positif dan pragmatis. Politik bukanlah satu dimensi yang gelap dan tertutup dari kelompok mahasiswa.

Dalam perkara ini, secara ringkas penulis boleh mengklasifikasikan istilah politik itu sendiri kepada tiga perkara. Pertama, sains politik yang merujuk kepada salah satu bidang disiplin ilmu yang mana terbentuk melalui dua asas ilmu pengetahuan. Sains merujuk kepada ilmu yang diperoleh melalui kaedah saintifik atau kajian dan hasilnya dijadikan satu teori untuk diaplikasikan oleh manusia. Manakala politik adalah pengetahuan mengenai pemerintahan, mekanisme pemerintah dan pengendalian konflik yang berlaku di dalam sesebuah negara yang diperintah. Kedua, aktiviti politik yang dapat diertikan sebagai aksi-aksi individu atau kelompok manusia yang menunjukkan respon di dalam agenda politik. Ketiga, parti politik iaitu pertubuhan sekelompok manusia yang mempunyai agenda tersendiri untuk memperoleh kuasa di dalam sesebuah sistem kerajaan.

Justeru, penulis ingin menarik fokus pembaca mengenai partisipasi manusia khususnya mahasiswa dalam berpolitik. Subjek Comparative Politics telah menumpukan satu bab mengenai Political Participation atau partisipasi berpolitik. Partisipasi ini mestilah bersesuaian dengan sistem sesebuah kerajaan samada demokrasi, rejim autokrasi atau rejim totalitarian. Penulis lebih suka untuk menumpukan partisipasi mahasiswa di Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Dalam aspek ini, dua orang sarjana Amerika iaitu Milbrath dan Goel telah mengklasifikasikan populasi Amerika kepada tiga kelompok manusia iaitu Gladiator, Spectator dan Apathetic. Menurut mereka, Gladiator ialah manusia yang terlibat di dalam gelanggang politik itu sendiri dan golongan ini hanya melibatkan 5 hingga 7 peratus sahaja. Golongan yang benar-benar berjuang di atas dasar kesedaran samada untuk menuntut hak mereka, menyuarakan protes terhadap dasar-dasar pemerintah yang zalim atau front liner untuk mengetuai badan bertindak terhadap sesuatu isu yang berbangkit. Seterusnya ialah Spectator yang dimaksudkan kepada golongan manusia yang lebih berminat untuk memerhati aktiviti politik itu berlangsung dan hanya menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di dalam pilihanraya. Bagi penulis, golongan ini mengikuti perkembangan isu semasa melalui media tetapi tidak mampu menganalisa sesuatu isu tersebut dengan baik dan terperinci - read beyond the lines – Golongan yang terakhir menurut mereka ialah Apathetic yang tidak terlibat di dalam agenda politik termasuklah dalam mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh pemerintah. Bagi penulis, ia lebih sinonim untuk disebut sebagai golongan yang buta politik.

Penulis ingin mengajak pembaca memerhati di dalam konteks dunia mahasiswa di Malaysia sendiri berhubung isu partisipasi berpolitik. Penulis ingin tegaskan disini mahasiswa adalah sebahagian dari masyarakat Malaysia yang mana hak-hak mereka juga turut diiktiraf di dalam Perlembagaan Malaysia. Penulis tertarik ketika mana pernah bergema persoalan mengenai kewajaran mahasiswa berpolitik. Secara ringkas, sekiranya jawapan adalah wajar, maka kita akan lihat sejauh mana kuantiti mobilasi mahasiswa dalam gelanggang atau aktiviti politik. Kita bukannya mengharapkan mahasiswa terlibat secara langsung dalam parti tetapi lebih kepada kumpulan pendesak yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan untuk menempatkan diri dalam kabinet Malaysia. Namun begitu, sekiranya jawapan adalah tidak wajar, maka kita juga akan melihat kejanggalan atau kejakunan mahasiswa apabila berada di kelompok masyarakat atau menyuarakan pendirian mahasiswa berhubung sesuatu isu. Ia disebabkan terdapat satu gap yang menghalang mahasiswa untuk cenderung memikirkan nasib agama, negara dan rakyat. Jadi, tidak hairanlah apabila sekelompok besar mahasiswa lebih berminat untuk memajukan diri sendiri tanpa menghiraukan suasana yang berlegar disekitarnya. Maka akan lahirnya lebih ramai golongan individual centered rather than collectivity centered.

Penulis memandang positif usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan yang boleh melengkapi ciri-ciri yang disebut di dalam Falsafah Pendidikan Negara. Tetapi, sekiranya kita mampu untuk menekuni pemasalahan yang berlaku di kalangan mahasiswa dan pelajar-pelajar, penulis secara peribadi merasakan kerajaan perlu membuat sesuatu untuk merombak sistem pendidikan di Malaysia bermula dari penambahbaikan institusi perguruan, modul silibus pendidikan, pendisiplinan, pengolahan kreativiti dan kecenderungan mahasiswa dan pelajar sehinggalah kepada kelemahan monitoring system dan execution. Sekiranya kepada kelompok mahasiswa dan pensyarah secara khusus, kerajaan perlu meminda atau mungkin perlu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menyekat kematangan dan keperkasaan mereka untuk mengungguli persada dunia akademik dan dunia kemasyarakatan. Penulis pernah memberikan pendangan kepada para panelis forum Bicara Siswa yang diadakan di Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia bersempena program Konvensyen Mahasiswa Melayu Kebangsaan 2006 yang lalu. Penulis melontarkan pendapat bahawa diantara faktor utama penyebab kelembapan minda mahasiswa terhadap perkembangan isu semasa adalah disebabkan sistem atau AUKU sendiri yang didoktrinkan kepada minda mereka. Mahasiswa tidak mampu berfikir seperti seorang pemimpin masyarakat kerana mahasiswa tidak dibenarkan untuk bersama dengan rakyat terutamanya yang melibatkan dasar dan kepentingan kerajaan. Itulah kuncinya!

Dari Pustaka Peribadi

No comments: