Tuesday, May 6, 2008

Islam Penyelesai Masalah Pekerja - Tuan Guru Nik Aziz


Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan semua majikan, Ketua Jabatan dan syarikat supaya melaksanakan peraturan atau budaya kerja berpandukan ajaran Islam bagi mengelakkan pekerja terjerat dengan masalah majikan mendiskriminasi pekerja.


Beliau berkata, semua manusia sama ada mereka yang berjawatan Menteri Besar, Ketua Jabatan, Pegawai Kerajaan dianggap sebagai pekerja.


Justeru, katanya, majikan perlu memberi gaji atau elaun kepada pekerja mereka selepas selesai melakukan tugasan tanpa sebarang tekanan.


Menurut beliau, cara menyelesaikan masalah pekerja sama ada mereka di kalangan buruh kasar atau pegawai kerajaan, majikan perlu membayar gaji atau elaun mereka setimpal dengan tugasan masing-masing.


Katanya apabila majikan dapat menyelesaikan masalah pekerja mereka akan mendapat pahala, walaupun wang mereka habis dan pahala itu merupakan duit yang digunakan untuk membayar gaji pekerja.


"Cara untuk mendapatkan pahala majikan atau ketua jabatan dan syarikat perlu menyelesaikan masalah pekerja dengan adil," katanya dalam ucapan penutup Perhimpunan Pekerja dan Wacana Kebangsaan 2008 di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini.


Beliau menegaskan bagi menyelesaikan segala masalah gaji atau elaun pekerja tidak ada cara lain yang lebih berkesan selain berpegang pada ajaran Islam.


Tuan Guru Nik Aziz telah memegang jawatan Menteri Besar Kelantan selama lima penggal dan langkah awal yang diambil memberi tambahan gaji kepada pekerja dan cuti dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu.


"Tindakan saya memberi cuti dua hari menyebabkan Kerajaan Pusat mendakwa kerajaan Kelantan mengajar rakyatnya pemalas," katanya dalam ucapan penutup.


Bagaimanapun, tambah beliau lama-kelamaan Kerajaan Pusat meniru segala perubahan yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan dengan menambah cuti pekerja sebanyak dua hari.


Begitu juga dengan cuti bersalin dahulu 40 hari menjadi 60 hari dan beliau melahirkan kebimbangan jika cuti bersalin ditambah menjadi 90 hari akan menyebabkan pekerja wanita berhenti kerja.


"Saya bekerja cara saya dan di akhirat pula saya sebagai Ketua Negeri akan dipanggil dahulu oleh Allah bersoal jawab berkenaan dengan rakyat, ekonomi, budaya, sosial negeri Kelantan," jelasnya.


Tambah beliau, jika kerja begini teruk semua manusia berfikir tentang tanggungjawab berhadapan dengan Allah, maka tidak ada orang yang berebut untuk menjadi Menteri Besar.


Menurut beliau, tapi ada yang berebut untuk menjadi Menteri Besar kerana ada benda lain yang menjadi pilihan. - mks.

No comments: